Penulisan: Pengurusan Sumber (Kumpulan 6)

2.0 Tinjauan bacaan

Pengurusan dapat didefinisikan sebagai sebuah aktiviti merancang dan pergerakan atau panduan oleh sesuatu organisasi berkaitan dengan segala cara, prinsip atau peraturan, tanggungjawab serta tugas-tugas kakitangan (Mohd Zamuri, 2002). Pada era globalisasi kini, sekolah lebih fokus dalam kaedah pendidikan berpusatkan pelajar (student-centred learning). Menurut Kadir (1993), peranan dan sumbangan Pusat Sumber Sekolah terhadap proses pengajaran dan pembelajaran serta pendidikan umumnya dapat membantu para pelajar meluaskan pandangan serta menguatkan nilai dalam diri mereka. Bagi menjayakan matlamat ini, jelaslah bahawa sumber-sumber yang ada di sekolah perlu berada dalam keadaan yang terbaik bagi memastikan keputusan akademik dan strategi pelaksanaan pengurusan sumber dapat meningkatkan imej sekolah secara berterusan. Tambahan pula, pusat sumber dianggap sebagai gedung yang menyokong ke arah kesempurnaan pengajaran dan pembelajaran (Yusuf, 1997).  Di samping itu, pengurusan juga merupakan satu proses membahagikan segala input organisasi yang wujud termasuk sumber ekonomi dan sumber kakitangan melalui kaedah perancangan, pengorganisasian, pengarahan dan pengawalan supaya output (segala barang-barang dan perkhidmatan) yang diperlukan dapat dikeluarkan oleh pengguna bagi merealisasikan objektif organisasi (Jaafar, 1988). Pada masa yang sama, pemantauan dan penilaian hendaklah dilakukan sentiasa supaya keberkesanan pengurusan sumber dapat berkekalan serta tidak menjejaskan perancangan masa depan pusat sumber sekolah. Tidak dapat dinafikan bahawa pengurusan sumber sekolah dan keberkesanan sekolah dalam sesi P&P saling berhubung kait antara satu sama lain kerana kedua-dua elemen ini mampu mempengaruhi prestasi sekolah. Abdul Rahman (1993) juga mengatakan bahawa pusat sumber hendaklah memainkan peranan sebagai ‘the nerve center of the school’ yang menggerakkan dan mengembangkan kurikulum atau akademik serta menyuburkan pertumbuhan intelek, disiplin dan sahsiah pelajar.


7.0 Rumusan

Pengurusan Pusat Sumber Sekolah yang cemerlang dapat memanfaatkan penggunaan teknologi di dalam kelas dan meningkatkan kemampuan kakitangan sekolah secara efektif. Selain itu, ia dapat membantu merangsang potensi semua pelajar dan meningkatkan prestasi mereka dalam pelajaran serta menjadikan pengurusan sekolah lebih mudah. Mengurus sumber berkualiti tinggi dengan baik juga dapat meningkatkan semangat daya saing yang sihat di kalangan pelajar dan menggalakkan perancangan Sesi Pembelajaran & Pengajaran (P&P) yang lebih berkesan untuk guru kerana mereka berupaya untuk menggunakan segala sumber yang diperlukan di pusat sumber yang disediakan di sekolah. Bukan itu sahaja, dengan adanya Pusat Sumber Sekolah yang kondusif, pembangunan bahan pembelajaran dan penerapan penggunaan teknologi di dalam bilik darjah boleh menyumbang kepada kejayaan sekolah tersebut. Oleh itu, pengurusan sumber yang bagus menjadi keperluan utama di setiap sekolah di Malaysia.

Comments

  1. Salam sejahtera. Terima kasih atas perkongsian saudari mengenai pengurusan sumber. Perbincangan anda mengenai hal ini sangat baik sekali, saya mudah memahami yang yang telah anda sampaikan, terutama sekali pada bahagian rumusan anda yang mengatakan bahawa ia dapat membantu merangsang potensi para pelajar dalam apa jua yang mereka akan lakukan. Penyataan anda sangatlah jelas dan begitu tepat sekali.

    ReplyDelete

Post a Comment